Sabtu, 26 Disember 2009

Warkah Buat Ibu


Ibu,
Titipan warkah ini hadir hanya sekadar peneman yang ku utus buat jiwamu yang sedang remuk menanggung pilu. Ibu, andainya ada kata-kata dalam bicara bisuku ini yang bisa mengguris hati sucimu, aku pohonkan segala kesilapanku bisa terpadam dengan curahan kemaafan darimu. Sesungguhnya aku tahu, bahawa dirimu sentiasa mengampunkan ketelanjuran anakmu ini. Namun, tidak enak rasanya di jiwaku ini andainya bibirku tidak menuturkan kata maaf buatmu. Sedarlah ibu bahawa sesungguhnya, anakmu ini sangat menyanjungimu dan benar-benar menyayangimu..

Ibu,
Dahulu, semasa aku masih kecil, dikaulah yang senantiasa menenangkan diriku tatkala diriku dirundung gelisah. Dahulu, semasa aku masih kecil, dikaulah yang senantiasa memberi dorongan tatkala aku hampir-hampir rebah. Dahulu, semasa aku masih kecil, dikaulah penyembuh tatkala hatiku ini terluka parah.Engkau laksana sayap yang menggantikan sayapku yang patah.,.
Namun,
Kini, aku mohon agar izinkanlah kita saling bertukar peranan.Biarlah aku yang menjadi penyembuh luka, biarlah aku yang menjadi penawar derita, biarlah aku yang menjadi pengubat sengsara. Aku rela ibu, asalkan dirimu sentiasa bahagia. Ibu, izinkanlah anakmu ini pula yang menjadi sayap baru yang bisa membawamu terbang merentasi awan-awan duka menuju mahligai bahagia. Agar ibu kekal gembira di sana.

Ibu,
Sungguhpun aku bisa menjadi penolongmu mengharungi tusukan-tusukan sembilu yang menghiris pedih, namun ibu harus sedar bahawa anakmu ini juga masih tetap manusia biasa. Tusukan-tusukan itu hanya mampu aku tepis dari menyakitimu, namun bilah-bilah itu masih tetap bisa menikam jasadmu. Lukamu akibat tusukan itu hanya bisa ku sembuhkan pada zahirnya sahaja, namun batinnya, luka itu masih menyucuk-nyucuk kalbumu. Ibu, sedarlah bahawa sesungguhnya, penawar bagi segala kapedihan dalam hatimu itu ada tersembunyi dalam dirimu. Singkaplah ibu, singkaplah hijab yang menghalang laluanmu itu. Selamlah sedalam-dalamnya lubuk jiwamu itu. Tepat di dasar hatimu kelak, kau akan temui satu kekuatan yang sentiasa bersamamu tanpa pernah meninggalkan dirimu walau sedetik pun. Genggamlah kekuatan itu wahai ibu. Genggamlah ia seerat-eratnya sebagaimana engkau enggan melepaskan aku pergi menjauh darimu. Dakaplah kekuatan itu wahai ibu. Dakaplah ia seerat-eratnya sebagaimana engkau mendakapku tatkala engkau merindukan diriku. Kucuplah kekuatan itu wahai ibu. Kucuplah ia sebagaimana engkau mengucupku penuh mesra semasa aku baru dilahirkan. Sesungguhnya, ketahuilah bahawa kekuatan itu adalah iman dalam dirimu.

Ibu,
Dalam  diri setiap dari kita, wujudnya iman yang dibekalkan di dalam hati untuk memelihara tingkah laku kita. Iman sentiasa naik dan turun, itulah pesan ibu kepada ku dahulu. Kini, dikala dikau gundah gelisah, carilah kekuatan iman itu wahai ibu. Kembalilah semula kepada titian agama kita, Islam, agar ibu dapat merasai kehangatan cinta Ilahi. Andai kini dirimu tidak lagi dicintai, jadi pulangkanlah kelazatan cinta itu kepada Rabbi yang melahirkan cinta ke dalam hati manusia. Sesungguhnya, cintailah Dia kerana nescaya Dia akan membalas cintamu itu.  Ibu, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Kita ibarat watak-watak di atas pentas drama yang sentiasa memainkan peranan masing-masing. Tunaikanlah peranan mu itu sesempurna mungkin agar kelak ibu bisa memperolehi pengakhiran yang sempurna. 

Ibu,
Ku lahirkan luahan jiwa ku ini di atas kertas yang pada mulanya kosong tapi kini dihiasi bait-bait indah yang lahir tulus dari anakmu. Sekali lagi ku mohon agar segala kesilapan ku bisa dimaafkan oleh ibu. Ibu, redalah dengan dugaan dan ujian dari-Nya, janganlah kau palingkan hatimu dari sinaran Ad-Din, moga-moga kau dapat menempah singgahsana di syurga kelak. Ketahuilah bahawa sesungguhnya, anakmu ini akan sentiasa mendoakan kebaikan bagimu di dunia dan di akhirat kelak,.

Ibu,
Ku rasakan cukup sampai di sini sahajalah coretan kasihku buatmu, namun ini tidak bereti curahan kasihku akan terhenti dengan titik noktah yang mengakhiri coretan ini. Ketahuilah, andai ku curahkan kasihku padamu di atas kertas ini, pasti ia langsung tidak mencukupi kerna kasihku padamu tidak terhitung wahai ibu. Semoga kebaikan dan keselamatan sentiasa mengiringimu. Sekian,,

                                                                                                                  Yang mengasihimu,
                                                                                                                        Ilham





jangan malu,jangan segan..komenlah di sini ^_^

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

karang sendiqi ek..
bagus..
syurga bawah tapak kaki ibu

Sir Fik berkata...

Sayangilah ibu kita~ :) Neways, coretan yg baik & touching~

Tanpa Nama berkata...

bgus..ana hrp anta dpt coret lgi prkara spt ini. ana doakn anta akn drahmati Allah. coretan ini dpt sdarkn ana btapa bsarnya pngorbanan ibu. ana jga hrp dpt jd anak spt anta. mabruk a'laik ya.slm ukhwah

umat Nabi Muhammad berkata...

coretan yg mmbuatkan hti ana tersentuh.

Tanpa Nama berkata...

bguih!!!truskan usaha...

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah...
smuga lbeyh byk manusia2 yg mcm
anta d mka bumi ini
agr suma owg dpt menghargai
kasih seorang ibu...amin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...